Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan sekali lagi menggerakkan rakyat bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 9 Julai ini bermula jam 2 petang.
Himpunan yang bertemakan "Walk For Democracy", menurut Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS Mohamad Sabu akan berlansung di Kuala Lumpur dan tempat yang spesifik akan diumumkan nanti.
Beliau berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh BERSIH bersama-sama lebih 60 NGO dan parti politik yang bergabung di dalamnya dalam mesyuarat bersama pada 19 Mei lalu.
"Kami bagi PAS yang duduk dalam jawatankuasa BERSIH bersetuju dengan tarikh tersebut.
"Kami akan mengerahkan ahli dan penyokong untuk menyertai himpunan aman itu, seperti Bersih 1.
"Kita berharap tidak ada gangguan tertentu daripada pihak polis (sewaktu himpunan BERSIH 2)," kata Mohamad dalam sidang medianya hari ini.
Katanya, tujuan himpunan tersebut diadakan adalah kesinambungan empat tuntutan BERSIH dalam himpunan pertama mereka pada November 2007.
Menurutnya selain empat tuntutan mereka yang tidak dilayan oleh kerajaan dalam himpunan sebelum ini, BERSIH telah menambah lagi dua tuntutan.
Terlalu singkat
Dua perkara itu adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan institusi kerajaan dalam pilihan raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan.
Satu lagi tuntutan adalah melanjutkan tempoh pilihan raya di peringkat kebangsaan dengan "tempoh yang lebih munasabah" berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.
"Kalau di Thailand, mereka mengumumkan untuk mengadakan pada bulan Julai, lebih kurang dua bulan.
"Jadi kita minta tempoh yang munasabah, masa sekarang terlalu singkat," katanya.
Mohamad yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata pihaknya bersedia untuk membantu BERSIH untuk mengerahkan ahlinya untuk turun di seluruh negara.
"Kita yakin, PAS dapat mengerahkan lebih 100 ribu ahli... Lebih besar dan aman untuk mewujudkan suasana demokrasi.
"Kita mahu mengelak kejadian tidak demokrasi seperti di Timur Tengah yang menjadikan jalan raya untuk menukar kerajaan. Kita tidak mahu ini berlaku di Malaysia," katanya.
Dr Hatta berkata butiran terperinci berhubung perhimpunan BERSIH 2 itu akan diumumkan kepada media termasuk tempat, warna tema, dan penyerahan memorandum kepada pihak tertentu.
enosuam: Golongan muda diharap dapat joint beramai ramai dengan kempen BERSIH 2011.Tunjukan kuasa orang muda yang tidak tahan lagi dengan kezaliman Kerajaan kepada rakyat!